Ikut Blog Kami

Album Kami

Album Kami
Koleksi Nasyid Indie Vol. 2: Nasyeed Semesta

Tuesday, June 5, 2012

Bytiey Bakal Muncul dengan Mini Album


Insya-Allah jika tiada aral melintang kami akan tampil dengan mini album yang bakal memuatkan lima buah lagu. Antara lagu yang akan dimuatkan ialah lagu Hijrah yang akan dinyanyikan semula dan diberi nafas baru dengan susunan muzik baru yang lebih mantap, insya-Allah.

Semua ini hanyalah perancangan kami selaku manusia. Allah-lah yang menentukan sama ada ianya akan benar-benar menjadi kenyataan ataupun tidak. Kami mengharapkan doa daripada peminat sekalian mudah-mudahan perancangan kami ini menjadi dan diberkati Allah.

Paling awal untuk kami menerbitkannya ialah akhir tahun ini dan paling lewat mungkin tahun hadapan. Ahli Bytiey yang akan menyertai projek mini album ini ialah Nasih, Qatadah dan Syukri. Kami juga sedang mempelawa bekas ahli Bytiey, Firdaus untuk menyertai semula Bytiey sekaligus menyertai projek ini.

Kemungkinan empat buah lagu lagi yang akan dirakamkan ialah dua daripadanya lagu baru kami dan dua lagi lagu lama sebuah kumpulan nasyid terkenal tanah air yang akan kami nyanyikan semula serta memberi nafas baru ke dalam lagu-lagu tersebut.

Kami masih berkira-kira untuk memilih studio rakaman mana yang ingin dirakam lagu-lagu kami dalam mini album ini. Antara studio yang kami fikirkan ialah Neurotic Studio milik Halim Devotees, studio UNIC Records dan studio Hijjaz Records. Kemungkinan juga susunan muzik lagu kami akan dibuat oleh Zul Visa.

Setakat itu sajalah yang dapat kami kongsikan setakat ini. Berita selanjutnya akan menyusul, insya-Allah. Jangan lupa untuk dapatkan mini album Bytiey nanti ya? Sekian, terima kasih kerana sudi membaca.


Wednesday, May 25, 2011

Kalam Mukaddimah

Assalamualaikum w.b.t.

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Pertamanya alhamdulillah, kami ingin panjatkan setinggi syukur kerana masih diberi ruang untuk berdakwah melalui irama nasyid di bumi ALLAH taala ini. Moga kami terus diberi kekuatan untuk tega berdakwah hingga akhir usia.

Seterusnya tidak lupa untuk mengucapkan selawat dan salam sejahtera ke atas baginda junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w. Atas kerja mulia dan jihad bagindalah hari ini kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam. Jutaan terima kasih patut kita hulurkan buat Nabi atas kasih-sayangnya pada umat. Tanpa Nabi, siapalah kita. Tanpa Nabi, mana mungkin kita ke syurga.

Selamat datang, ahlan wa sahlan kami ucapkan kepada semua pengunjung blog rasmi Bytiey ini. Terima kasih kami ucapkan atas kesudian kalian menjenguk kami di sini. Hanya ALLAH sahajalah yang mampu membalas jasa baik kalian yang menyokong usaha dakwah kami.

Sedikit perkembangan mengenai Bytiey dalam dunia seni nasyid tanah air, kami sudah punya single kami sendiri, iaitu Hijrah yang dimuatkan dalam album Koleksi Nasyid Indie Vol. 2: Nasyeed Semesta terbitan Neurotic Studio. Album tersebut telahpun dipasarkan sekitar bulan Mac 2011 yang lalu. Penerbitnya merupakan salah seorang ahli kumpulan nasyid Devotees, iaitu Abd Halim Ahmad.
 
 

Kami yang terdiri daripada Nasih, Qatadah dan Hasrul telahpun membuat rakaman lagu Hijrah pada bulan Disember lepas di Neurotic Studio yang terletak di Batu Caves. Seorang lagi ahli Bytiey ketika itu iaitu Ulwan tidak dapat bersama merakamkan lagu itu kerana ada kerja lain yang tidak dapat dielakkan. Manakala seorang lagi ahli kami, Syukri belum lagi menyertai kumpulan kami.

Jualan album agak baik setakat ini walapun tidaklah serancak mana. Maklumlah kami belum lagi dikenali secara meluas oleh rakyat Malaysia. Mudah-mudahan jualan album kami akan bertambah baik lagi selepas ini. Harap kalian sudi menjemput kami mengadakan persembahan, agar mudah untuk kami mempromosi dan menjual album kami.

Itu sajalah yang dapat kami kongsikan setakat ini. Harap kalian terus menyokong kami agar kami dapat terus bernafas dalam dunia nasyid tanah air dan doakan moga perancangan kami untuk menerbitkan album mini pada tahun hadapan berjaya, insya-ALLAH. Ameen. Terima kasih atas doa kalian!

Sekian, wassalam.